SEPANG, 16 Nov – Malaysia Airlines menyambung semula sepenuhnya perkhidmatan dalam penerbangan bagi semua sektor susulan pertukaran katering yang berkuat kuasa 1 Sept 2023 dengan menawarkan semula termasuk tawaran minuman lengkap, hidangan penuh makanan panas dan hidangan khas.

Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group Datuk Kapten Izham Ismail berkata syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan tawaran makanan dan menu yang ditambah baik bagi semua sektor untuk meningkatkan pengalaman menjamu selera dalam pesawat.

“Sebagai sebuah syarikat penerbangan global, Malaysia Airlines menetapkan standard yang tinggi dari segi tawaran produk dan perkhidmatan kami dalam pesawat, menjadi wakil sayap penerbangan negara dan jaguh hospitaliti di Malaysia,” katanya dalam ucapan alu-aluan bersempena dengan pengumuman tawaran perkhidmatan lengkap dalam penerbangan Malaysia Airlines di sini hari ini.

Syarikat penerbangan itu mengakui bahawa pengalaman pelanggan adalah lebih penting berbanding insiden terpencil atau interaksi sehala, katanya sambil memaklumkan ia merupakan perjalanan dinamik dan sentiasa berkembang yang memerlukan langkah penambahbaikan berterusan.

“Kami sedang giat mengejar peluang dan mengukuhkan perkongsian strategik bagi memastikan hidangan yang ditawarkan kepada tetamu menjangkau standard tertinggi dan tidak mengabaikan kualiti,” katanya.

Perkhidmatan lengkap yang ditawarkan semula ini adalah susulan penghantaran 10 lagi trak hi-lift yang memulakan operasi pada akhir Oktober 2023, sekali gus membolehkan syarikat penerbangan itu meneruskan perkhidmatan sepenuhnya dalam penerbangan sejak 1 Nov 2023.

Sebagai sebahagian daripada pelan kesinambungan perniagaan kateringnya, syarikat penerbangan itu menubuhkan pusat pengedaran sementara MAG Catering Operations (MCAT) untuk menguruskan pengumpulan barangan makanan dan minuman serta mengangkat kotak makanan dalam pesawat menggunakan trak hi-lift.

Fasiliti MCAT itu mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Susulan penambahan ini, operasi MCAT semakin kukuh apabila mempunyai 24 trak hi-lift, enam penyejuk beku, dua pendingin dan dua mesin pencuci yang membolehkan syarikat penerbangan itu menawarkan perkhidmatan yang efisien dan segera kepada laluan yang terjejas sebelum ini.

Ketika ini syarikat penerbangan itu menguruskan sendiri purata sebanyak 18,000 makanan pada setiap hari, dengan bekerjasama erat dengan rakan kongsi untuk mengekalkan piawaian kualiti dan perkhidmatan yang terbaik.

Sementara itu, Izham berkata pembekal makanan pihak ketiga terdiri daripada MAS Awana Sdn Bhd iaitu milik 60 peratus MAG, Sajian Ambang Sdn Bhd, Syed Food Industry Sdn Bhd, QL Kitchen Sdn Bhd, Fantastic Food Factory Sdn Bhd, AlQina Cuisine, Cosmic Culinary Food Solution, Koperasi Petronas dan penyedia sate Wanmalinja Food Industries Sdn Bhd.

Keseluruhan kos katering untuk tempoh sebelum September (ketika operasi Brahim) adalah dua peratus daripada kos operasi dan seterusnya meningkat sebanyak 0.5 peratus hingga 2.5 peratus daripada jumlah kosnya pada 2023 dengan sembilan pembekal pihak ketiga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here