KUALA LUMPUR, 12 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak yang terlibat untuk menekankan ekosistem dan landskap pelaburan negara supaya lebih kreatif dalam menawarkan ruang perindustrian dan perniagaan yang lebih mesra pelabur.

Beliau berkata mereka juga perlu meneruskan usaha dalam mempercepatkan proses pembangunan negara agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai.

“Saya turut menekankan tentang keperluan untuk melihat kepada pembangunan ekosistem yang lengkap yang bersesuaian dalam membangunkan Pusat Data bagi memastikan cadangan pembangunan Pusat Data tersebut mempunyai nilai tambah dan lebih berdaya saing,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-43 yang merupakan wadah bagi Kerajaan Persekutuan berunding dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam mesyuarat tersebut, Anwar berkata beliau telah memberi penekanan kepada usaha mempercepat tempoh kelulusan pembangunan supaya dapat memangkinkan pelaburan dan memperbaiki tahap memudah cara perniagaan di Malaysia.

“Aspek kecekapan dan kecepatan dalam menguruskan kelulusan pembangunan merupakan perkara yang dilihat lebih penting oleh para pelabur berbanding insentif kewangan.

“Ini perlu diberi perhatian yang serius, terutamanya oleh pihak berkuasa yang terlibat dalam usaha kita terus menarik dan memudah cara pelaburan ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata pelabur juga lebih berminat dengan ketersediaan infrastruktur dan kepakaran modal insan yang membolehkan mereka memulakan operasi dengan kadar segera mengikut kesesuaian pelaburan yang dibuat.

“Sekiranya Malaysia tidak berjaya dalam aspek ini, kemungkinan besar ini akan menyebabkan pelabur berpindah ke destinasi lain di kawasan serantau,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here