TELUPID, 5 Jan — Pendaftaran koperasi di negara ini cukup memberangsangkan dengan  jumlah koperasi didaftarkan meningkat hampir dua kali ganda pada tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata sebanyak 1,001 koperasi telah berjaya didaftarkan tahun lepas berbanding purata 600 koperasi baharu didaftarkan setiap tahun sebelum ini yang antara lain memberikan petanda positif ekonomi negara pada landasan yang baik.

“Peningkatan hampir dua kali ganda ini juga hasil usaha kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melaksanakan Program Merakyatkan Koperasi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas bertemu usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional di sini hari ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai program baharu yang akan dilaksanakan oleh kementeriannya tahun ini, Ewon berkata dua inisiatif akan dilancarkan iaitu Pakej Rangsangan Koperasi Pelancongan dan Projek Tamu Desa.

“Saya amat yakin kita dapat menjana minat rakyat berkoperasi, terutama yang terlibat dalam aktiviti pelancongan, dengan adanya tambahan inisiatif yang akan dilaksanakan tahun ini.

“Selain itu, kita juga akan memulakan pembinaan gerai desa di bawah Projek Tamu Desa, yang mana sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2024 khas untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai lawatannya, Ewon berkata Tekun Nasional berjaya membantu seramai 819 usahawan di Telupid melibatkan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM18.73 juta sejak Januari 2002 hingga bulan lepas.

Menurutnya daripada jumlah itu, seramai 249 usahawan menerima pembiayaan berjumlah RM12.61 juta sejak April hingga Disember tahun lepas.

“Ini satu jumlah yang besar dan saya amat yakin ia telah membantu meningkatkan lagi ekonomi para usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di daerah ini,” katanya

Beliau berkata pelbagai cadangan telah diterima dalam pertemuan itu, antaranya keperluan tambahan kakitangan di Pejabat Tekun Telupid bagi mempercepatkan lagi urusan para usahawan.

“Saya difahamkan tambahan kakitangan akan dilaksanakan pada bulan depan dan berharap ini (penambahan kakitangan) akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada usahawan di daerah ini,” katanya yang menambah Pejabat Tekun Telupid hanya mempunyai seorang pengurus dan seorang pembantu pegawai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here