KOTA KINABALU, 6 Jan — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot pelancong kerana membawa penumpang melebihi had dan mengabaikan aspek keselamatan pada 4.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata bot itu ditahan semasa peronda maritim melakukan operasi pencegahan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 0.18 batu nautika Barat Jeti Jesselton di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan telah membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan. Bot kedua yang ditahan didapati tidak membawa peralatan keselamatan selain beroperasi tanpa kru.

“Kedua-dua bot dan juragan telah diiringi masuk ke jeti Maritim Negeri Sabah di Sepanggar untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Maritim Malaysia menyeru semua pengusaha bot penumpang agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa membawa penumpang ke pulau-pulau sekitar perairan Sabah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here