GEORGE TOWN, 5 Feb – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah sebanyak 129 kelas prasekolah tahun ini sebagai usaha memberi peluang kepada lebih ramai murid mendapatkan pendidikan di peringkat awal, kata menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata KPM melakukan peluasan kelas prasekolah setiap tahun untuk meningkatkan enrolmen ke tahap 90 peratus bagi memastikan tiada berlaku keciciran murid.

Menurut Fadhlina ketika ini terdapat sebanyak 9,909 kelas prasekolah di seluruh negara melibatkan lebih 200,000 murid manakala peluasan kelas prasekolah pada tahun lepas adalah sebanyak 119 kelas.

“Setiap tahun kita (KPM) melakukan peluasan prasekolah kerana permintaan yang terlalu tinggi. Kita juga nak pastikan lebih ramai murid mendapat pendidikan percuma di peringkat berkenaan terutama dalam kalangan murid berkeperluan khas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Bayan Lepas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata KPM turut menyediakan inisiatif Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) dalam kalangan murid itu bagi mengatasi isu malnutrisi dan kemiskinan multidimensi.

“Ia juga pastinya terkait rapat dengan naratif keciciran sebab enrolmen di peringkat prasekolah ini kita perlu buat lonjakan lagi untuk memastikan kemasukan mereka ke sekolah itu bermakna,” katanya.

Semalam, Fadhlina mengumumkan telah mewujudkan pasukan khas untuk penyelarasan semula sistem pendidikan prasekolah di bawah kementerian itu bagi mempercepat reformasi pendidikan.

Beliau dilaporkan berkata agenda KPM adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu-isu berkaitan prasekolah seperti dari segi pembelajaran serta silibus dapat diselaraskan semuanya di bawah kementerian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here