KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kerajaan akan terus membantu mempermudah pembangunan industri perabot dari aspek bahan mentah, produktiviti serta reka bentuk menerusi pelbagai inisiatif dan program, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar industri perabot terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensinya seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), untuk penambahbaikan industri berkenaan.

“Saya menggesa semua pemain industri untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di seluruh rantaian bekalan dan meluaskan rangkaian untuk meneroka peluang baharu (yang strategik),” katanya pada majlis perasmian Pameran Perabot Eksport (EFE) 2024 di sini hari ini.

Chan berkata usaha sedemikian akan membawa hasil yang positif dan mendorong prestasi industri perabot ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan kerana industri itu dianggap berperanan penting dalam menyokong sektor kayu-kayan.

“Untuk 2023, sektor itu mengeksport kayu-kayan dan produk kayu-kayan bernilai RM21.85 bilion.

“Perabot kayu menyumbang RM9.1 bilion nilai eksport, (menyumbang) 44.11 peratus daripada eksport kayu tahunan dan produk kayu,” katanya sambil menambah bahawa kayu-kayan secara tradisinya merupakan sektor komoditi ketiga terbesar selepas minyak sawit dan getah.

Menurut Chan, kayu-kayan, satu daripada lapan komoditi di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) akan ditransformasikan secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.

“Ia bagi memastikan ia kekal sebagai pemacu yang kukuh bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia. Kami menyasarkan nilai eksport kayu-kayan dan produk kayu pada RM28 bilion menjelang 2025 dan RM32.8 bilion menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perabot Malaysia Desmond Tan berkata majlis itu berharap kerajaan akan mewujudkan hab bahan mentah untuk industri perabot bagi memastikan pemain industri boleh mendapatkan bahan mentah dengan mudah dan dengan harga yang berpatutan.

“Langkah sedemikian akan membantu mengekalkan kos pengeluaran serendah mungkin dan mengekalkan daya saing kami dalam pasaran global,” katanya.

Lebih daripada 400 peserta pameran menyertai EFE 2024, yang berlangsung dari 4 Mac hingga 7 Mac.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here