KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan menegaskan akan terus komited dalam memastikan prestasi nilai ringgit berada pada tahap lebih baik dan mengukuh, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata kerajaan akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam melaksanakan langkah segera termasuk mempergiat libat urus dengan pihak korporat yang turut merangkumi pengeksport, pengimport, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menggalakkan aliran masuk dana ke pasaran pertukaran asing tempatan.

“Melalui langkah ini, impak positif terhadap ringgit dapat dilihat. Jawatankuasa Pasaran Kewangan BNM pada 1 Mac 2024 menyatakan terdapat kesan yang serta-merta terhadap aliran pasaran dan peningkatan minat pasaran terhadap ringgit.

“Nilai ringgit telah meningkat sebanyak 1.3 peratus sehingga 21 Mac 2024. Prestasi mata wang ringgit berbanding sembilan negara serantau lain telah pun bertambah baik, iaitu pada kedudukan pertama semenjak langkah koordinasi antara kerajaan, BNM dan GLC dan GLIC dilaksanakan iaitu pada 26 Feb, 2024),” katanya ketika menggulung perbahasan titah Diraja di Dewan Negara pada Isnin.

Beliau berkata penganalisis pasaran menganggarkan nilai ringgit berada di bawah nilai saksama sebanyak lapan hingga 10 peratus.

Berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 dijangka lebih kukuh pada julat 4.0 hingga 5.0 peratus, penganalisis pasaran menganggarkan bahawa nilai ringgit akan bertambah baik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang separuh kedua 2024, katanya.

“Sebagai negara pengeksport, penyusutan nilai ringgit memampan pendapatan sektor berorientasikan eksport melalui penterjemahan keuntungan dalam jangka pendek.

“Namun, kerajaan peka bahawa penyusutan nilai ringgit akan meningkatkan kos urus niaga import dan mengurangkan pendapatan boleh guna dan simpanan isi rumah,” katanya.

Sementara itu, mengenai usaha kerajaan dalam menyasarkan semula subsidi, Lim berkata mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar masih dalam pertimbangan dan dijangka tidak meningkatkan kos kepada industri sedia ada.

“Namun, kerajaan tetap menitikberatkan aspek pelaksanaan dan komunikasi yang berkesan kepada pihak industri agar tidak berlaku kejutan kepada ekonomi.

Beliau berkata pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here