PUTRAJAYA, 26 Mac – Rang undang-undang penubuhan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) dijangka dibentang di Parlimen pada Julai ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ketika ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapat jaminan dan maklum balas positif daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membolehkan rang undang-undang itu dibentangkan. 

“Perkembangan sangat bagus dan saya dapat jaminan AGC kalau dapat jadual pembentangan Julai. Itu munasabah untuk jelmakan MCBA sebagai entiti,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas pengurusan tertinggi KDN bersama pengamal media di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Nasriah Darus.

MCBA adalah agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif.

Pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasakan tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di pintu masuk negara, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguat kuasa bagi mengawal serta melaksanakan pemeriksaan antara lain terhadap orang, barang, kenderaan, binatang dan tumbuhan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan agensi tunggal sempadan negara (SBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Saifuddin Nasution berkata setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Awam telah meluluskan angka perjawatan untuk MCBA yang diketuai oleh Datuk Seri Hazani Ghazali dan ia dalam fasa pengisian.

Beliau berkata KDN juga diberikan persetujuan Jemaah Menteri minggu lepas bagi menubuhkan jawatankuasa pemandu dan pengoperasian untuk MCBA.

“Dengan itu, kami (KDN) akan mulakan dulu dengan babitkan agensi terlibat, kita mulakan dengan beberapa agensi awal,” katanya.

Ditanya sama ada jaminan MCBA akan berjaya, beliau berkata KDN mempunyai beberapa modul yang sudah berjaya antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah. 

“Kita ada modul yang berjaya, tentulah kawalan sempadan jauh lebih kompleks… Kita tidak ingin lihat kegagalan percubaan awal ini,” katanya.

Saifuddin Nasution sebelum ini berkata inisiatif SBA telah dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk antaranya Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here