KUALA LUMPUR, 26 Mac – Lawatan rasmi ke Australia dan Jerman baru-baru ini, selain mendatangkan keberhasilan yang positif dengan potensi pelaburan, ia juga telah menjana potensi jualan eksport produk Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan ke Australia berjaya menjana potensi pelaburan sebanyak RM24.5 bilion dan antara syarikat Australia yang telah menyatakan komitmen pelaburan termasuklah AirTrunk, NextDC, LaTrobe Magnesium, Kumpulan Arnott’s dan Cochlear Ltd.

Lawatan ke Australia juga telah menjana potensi jualan eksport produk Malaysia ke Australia sebanyak RM962.1 juta bagi barangan kayu, baja, makanan dan minuman serta komponen elektrik, kata beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata hasil lawatan rasmi ke Jerman baru-baru ini, secara keseluruhannya telah menjana potensi pelaburan berjumlah RM45.4 bilion, meliputi industri tenaga dan pelbagai industri pembuatan termasuk semikonduktor, aeroangkasa, produk kimia, peranti perubatan dan sektor automotif.

Beliau berkata antara syarikat Jerman yang telah memberi komitmen untuk melabur di Malaysia termasuklah Siemens Energy, Infineon Technologies, Airbus, B-Braun, BMW, Nexperia dan Delo Chemical.

Dari segi potensi eksport pula, katanya potensi pembelian tambahan yang diperoleh hasil lawatan ke Jerman adalah berjumlah RM1.4 bilion daripada syarikat Airbus.

Ini memberi suntikan yang memberangsangkan kepada jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Jerman khususnya dalam sektor aeroangkasa bagi tempoh lima tahun akan datang, jelas beliau.

Menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman, Anwar berkata terdapat peningkatan yang mendadak dan meyakinkan untuk tahap perdagangan Malaysia pada Januari dan Februari lepas berbanding mana-mana bulan sebelumnya.

“Justeru, saya tidak risau walaupun (terdapat) kesan daripada politik global, kepincangan di Rusia-Ukraine dan Gaza.

“Kita telah ambil tindakan untuk memastikan bukan sahaja negara-negara tradisional yang banyak melabur tetapi ada peningkatan yang ketara dari China, Jerman, Amerika Syarikat. Saya yakin ia akan memberi jaminan kelangsungan kegiatan itu dalam negara kita,” kata beliau.

Ku Abd Rahman mempersoal tahap perdagangan Malaysia yang masih ada turun naik bagi tahun 2024 dalam permintaan global yang menurun serta langkah-langkah kerajaan untuk mempelbagaikan pasaran luar negara seperti negara Amerika Latin, Timur Tengah.

Anwar berkata buat masa ini, Malaysia menguasai tujuh peratus pasaran dunia semikonduktor apabila Amerika Syarikat, Eropah dan China menjadikan Malaysia sebagai hab kepada sektor ini terutamanya pasaran cip.

Beliau berkata Malaysia menguasai 23 peratus keperluan cip di Amerika Syarikat.

Menurut Anwar, prestasi perdagangan negara telah menunjukkan trend peningkatan untuk dua bulan pertama tahun 2024, mencatatkan pertumbuhan 8.3 peratus kepada RM446.43 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Beliau berkata eksport meningkat 3.9 peratus kepada RM233.74 bilion, disumbang oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang turut mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.4 peratus kepada RM196.75 bilion.

Katanya ini telah dipacu oleh peningkatan eksport bagi barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan serta keluaran petroleum tetapi eksport merosot 0.8 peratus iaitu RM111.3 bilion dan import naik 8.4 peratus iaitu RM100.4 bilion dan lebihan dagangan menurun kepada RM10.87 bilion.

“Kejayaan besar ini atas kerjasama pelbagai kementerian. Kita akui Malaysia mendapat tempat kerana politik yang stabil, dasar ekonomi MADANI yang jelas serta kepantasan kelulusan.

“Selain itu, kita juga melihat kesungguhan Arab Saudi, Kuwait dan Qatar untuk melabur. Jika dahulu pada tahap rendah, sekarang berpuluh kali ganda,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here