KUALA LUMPUR, 26 Mac – Semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terjerumus dalam isu sosial sehingga menggugat pembelajaran mereka di sekolah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata kementerian yang berkaitan perlu bersama-sama menyumbang saranan kepada Majlis Sosial Negara bagi memperbaik keadaan sosial dalam negara. 

“Saya harap semua pihak bertanggungjawab untuk turut menjaga anak-anak kita yang seharusnya teruskan pelajaran mereka, bukan membuat perkara lain. 

“Kerisauan kita ialah berkenaan keadaan sosial dalam negara merangkumi perkara seperti ini. Kita mahu supaya yang menjadi tenaga pengajar mempunyai nilai-nilai yang sepatutnya sebagai seorang pendidik,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama 99 Speedmart di sini malam ini. 

Beliau mengulas mengenai isu seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah yang didakwa menjalinkan hubungan dengan pelajar lelakinya yang tular dalam media sosial.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata polis menerima laporan pada 12 Dis lepas mendakwa suspek yang berumur 37 tahun mencabul mangsa, ketika mengulang kaji pelajaran bersama guru terbabit di perpustakaan.

Wan Kamarul Azran berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata lebih 1,600 Orang Kurang Upaya (OKU) telah ditawarkan pekerjaan melalui program Job Coach yang dilaksanakan KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami amat memerlukan sokongan syarikat kerana ramai (OKU) yang menyatakan mereka tiada pekerjaan,” katanya.

Job Coach dilaksanakan oleh JKM dan beberapa agensi kerajaan serta pihak swasta sebagai satu cara sokongan pekerjaan untuk menolong OKU dalam pekerjaan yang melibatkan program latihan pekerjaan kepada individu OKU.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here