KUALA LUMPUR, 28 Mac – Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata pelaksanaan model kluster pekebun kecil kelapa sawit dijangka dapat menyumbang kepada penambahan sebanyak hampir sembilan juta tandan buah segar (FFB) dan 1.8 juta tan minyak sawit mentah bagi setiap 10,000 hektar ladang kelapa sawit.

Sehubungan itu, menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kementerian berkenaan kini sedang berusaha untuk menyatukan semua pekebun kecil bebas kelapa sawit dan membentuk kluster lebih besar dalam usaha meningkatkan lagi pengeluaran hasil sawit negara.

“Contohnya jika setiap pekebun kecil bebas ada empat hektar, kita kumpulkan semua jadi satu kluster dalam satu kawasan dan (jika) boleh mencapai 10,000 hektar, maka kita boleh guna amalan pengurusan ladang yang baik supaya hasil setiap hektar boleh meningkat,” katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan daripada Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkenaan pembukaan ladang baharu untuk meningkatkan hasil kelapa sawit negara.

Johari berkata kementerian juga memberi penekanan terhadap kepentingan program penanaman semula setiap kali pokok menjangkau usia 25 tahun seperti yang diamalkan sektor swasta.

Selain itu, beliau turut menjelaskan Malaysia tidak mempunyai tanah mencukupi untuk meneroka tapak ladang baharu.

“Kita sudah tiada tanah, kita cuma ada 5.7 juta hektar untuk kelapa sawit… Kita berdepan satu standard piawaian yang dikenakan kepada negara-negara pengeluar ‘edible oil’ (minyak boleh makan) iaitu mana-mana kelapa sawit yang kita nak eksport mestilah datang daripada tanah yang telah diteroka hutannya sebelum tahun 2020.

“Jika tidak, kita akan dianggap sebagai negara yang tidak mengambil kira soal penebangan hutan dan ia mengganggu eksport kelapa sawit ke luar negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here