KUALA LUMPUR, 28 Mac – Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini ialah bukti komitmen kerajaan untuk menangani isu berkaitan pemberian taraf kewarganegaraan dengan cermat.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sudah tiba masanya setiap kes permohonan kewarganageraan yang tertunggak lama diselesaikan dengan kadar segera.

“Saya ulangi komitmen kerajaan hari ini bahawa isu (permohonan) warganegara perlu ditangani dengan cermat. Kes-kes permohonan yang merupakan legasi lama yang membawa kepada pemohon terpaksa menunggu begitu lama, era itu seharusnya berlalu.

“Kita harus selesaikannya dengan berani dan bertanggungjawab,” katanya ketika ketika membentang rang undang-undang itu pada hari terakhir bagi Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini sebelum persidangan ditangguhkan petang ini selepas bersidang 19 hari.

Sehubungan itu, beliau berharap semua Ahli Parlimen memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap perkara itu bagi membantu usaha kerajaan mencari keseimbangan antara keselamatan dan kedaulatan undang-undang, serta sikap perikemanusiaan yang patut diberikan kepada pemohon khususnya golongan kanak-kanak.

Saifuddin berkata langkah pindaan itu dibuat dengan tujuan menambah baik kaedah pemberian taraf kewarganegaraan dan bukannya penafian hak kemanusiaan.

Langkah itu menjurus kepada tujuh pindaan, tiga pewujudan dan tiga pemansuhan bagi memenuhi keperluan semasa dalam menentukan keselamatan dan kedaulatan negara, selain memastikan kesejahteraan dan keharmonian negara terpelihara.

“Terdapat keperluan ia dibuat secara lebih berhati-hati kerana cabaran serta keadaan keselamatan negara harus menjadi keutamaan kepada agenda nasional iaitu memelihara rakyat dan negara dari sebarang ancaman keselamatan luar, yang sekiranya jika tidak ditadbir urus secara ketat boleh melumpuhkan sistem pentadbiran negara,” katanya.

Selain itu, katanya penilaian dan keseimbangan dari aspek keselamatan dan kemanusiaan dibuat ke atas beberapa cadangan pindaan terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

Beliau berkata pewujudan dikotomi ini bersesuaian dengan objektif KDN iaitu untuk mengekalkan keamanan, keselamatan negara, membanteras segala bentuk ancaman berunsur subversif, ekstremis, espionaj, sabotaj, kekerasan, keganasan dan seterusnya memastikan keharmonian rakyat Malaysia seluruhnya terjamin.

Sebagai sebuah Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), beliau berkata Malaysia tidak pernah menafikan pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar di negara ini kerana masih terdapat jalur perolehan kewarganegaraan untuk mereka. 

“Kita juga melihat amalan baik yang dilaksanakan oleh beberapa negara lain. Alhamdulillah proses itu telah kita selesaikan dan kemudiannya kita angkat kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-265 pada 21 dan 22 Feb lepas yang telah bersetuju menimbang dan memperkenankan cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024,” katanya.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan memasukkan fasal baharu (1A) ke dalam Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan, untuk menghendaki mana-mana orang yang berumur bawah 18 tahun yang memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran, untuk mengangkat sumpah dalam masa 48 bulan apabila mencapai umur 18 tahun.

Selain itu, pindaan pada perenggan (a) Seksyen 1, Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan pindaan, bakal menyaksikan seseorang kanak-kanak yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu bermastautin secara tetap di Persekutuan, kini tidak lagi layak untuk mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang.

Ia juga memperuntukkan hak yang sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan yang mana ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara, untuk memperoleh kewarganegaraan, melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 dijangka dibahaskan pada persidangan berikutnya yang dijadualkan pada Jun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here