KUALA LUMPUR, 2 April – Dewan Negara hari ini meluluskan dua Rang Undang-undang (RUU) di bawah Kementerian Kewangan iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024 dan RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024.

Kedua-dua RUU itu diluluskan dengan majoriti suara bersetuju selepas dibentangkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta dibahas oleh 14 Ahli Dewan Negara.

Amir Hamzah ketika membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024 berkata anggaran perbelanjaan mengurus tambahan pertama 2023 adalah berjumlah RM23,479,669,350 bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan 2023.

“Sebanyak RM3,692,563,850 adalah untuk pindahan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2023 ke Kumpulan Wang Pembangunan, RM778,632,450 untuk menampung perbelanjaan yang tidak diperuntukkan bagi tahun 2023.

“Sebanyak RM19,008,473,050 adalah peruntukan tambahan langsung kepada kementerian dan jabatan yang telah diberi kebenaran untuk berbelanja melebihi daripada peruntukan pada tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 bertujuan mengadakan peruntukan bagi penguntukan semula daripada Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM648,537,400 bagi perkhidmatan dan maksud yang dinyatakan dalam jadual kepada RUU ini bagi 2024.

Menurut Amir Hamzah, permohonan peruntukan itu susulan penyusunan semula fungsi kementerian selaras dengan penyusunan semula Jemaah Menteri baharu pada 12 Dis 2023.

“Ia bertujuan memperkemaskan lagi organisasi dan fungsi kementerian terutama dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara selaras dengan konsep Malaysia MADANI,” katanya.

RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024 telah diluluskan pada 20 Mac lepas manakala RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 pula diluluskan pada 26 Mac lepas di Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here