KUALA LUMPUR, 3 April – Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 9 Mei, kata Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata bagi penerbangan terakhir jemaah haji ke Arab Saudi pula dijadualkan pada 9 Jun ini.

“Insya-Allah hari wukuf adalah pada 15 Jun 2024,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH pada Selasa.

Syed Hamadah berkata kuota rasmi jemaah haji bagi Malaysia kekal pada 31,600 orang seperti diumumkan kerajaan Arab Saudi sebelum ini.

“Pihak TH telah berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dan ia masih terlalu awal untuk mendapatkan jawapan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, keseluruhan 31,600 bakal jemaah haji telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

“Kebanyakan (yang menerima tawaran) adalah mereka yang gilirannya memang jatuh pada tahun 1445H (tahun ini) dan juga ada yang tertangguh dari tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira enam peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji itu ialah mereka yang membuat rayuan untuk menunaikan ibadah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here