KUALA LUMPUR, 16 April – Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat bersama pelabur di New York, Amerika Syarikat dari 14 April hingga 16 April, 2024.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata mesyuarat tersebut diadakan bersempena dengan kehadiran Amir Hamzah di Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa dan Kumpulan Bank Dunia 2024 di Washington DC, Amerika Syarikat dari 17 April sehingga 19 April, 2024.

“Pelabur menunjukkan minat yang tinggi untuk memahami asas dan potensi ekonomi Malaysia serta kemajuan melaksanakan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI.

“Keyakinan pelabur lebih kukuh ekoran pembaharuan fiskal yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk mengurangkan defisit, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta subsidi bersasar elektrik dan air,” kata beliau. 

Mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal itu diadakan untuk memberi penerangan mengenai kedudukan semasa ekonomi dan perancangan kerajaan bagi terus mengukuhkan kewangan negara serta memudah cara pelaburan.

Pertemuan bersama pelabur antarabangsa seperti pengurus dana dan bank pelaburan itu juga akan menjelaskan hala tuju pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI.

Pada 15 April, Amir Hamzah telah mengadakan sesi libat urus dengan para pelabur dan dalam sesi libat urus bersama pelabur yang dijadualkan di New York pada 16 April, 2024, beliau dijangka bertemu dengan seramai 50 pelabur global pelbagai bidang industri dan perniagaan Amerika Syarikat. 

Sesi libat urus ini adalah penting bagi memberi penjelasan mengenai perkembangan dasar-dasar utama kerajaan termasuk pembaharuan fiskal untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here