JAKARTA, 16 April – Indonesia menzahirkan kebimbangannya dengan peningkatan suasana tegang di Timur Tengah dan meminta Iran dan Israel supaya menahan diri masing-masing susulan serangan misil Iran ke atas Israel pada Sabtu, lapor agensi berita ANTARA.

Kementerian Luar Indonesia juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya memberi respons segera terhadap peningkatan konflik itu bagi mengelakkannya daripada merebak di rantau Timur Tengah. 

“Indonesia menggesa Majlis Keselamatan PBB supaya bertindak segera untuk meredakan ketegangan dan terus berusaha ke arah keamanan berpanjangan di Timur Tengah,” menurut kenyataan kementerian itu yang dihantar ke media sosial pada Ahad malam. 

Kementerian itu juga berkata Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak  untuk menoktahkan pendudukan haram  di Palestin dan pelbagai pelanggaran  undang-undang antarabangsa oleh Israel.

Indonesia juga menekankan penyelesaian adil terhadap isu Palestin adalah menerusi penyelesaian dua negara bagi mengekalkan kestabilan serantau.  

Konflik di antara Iran dan Israel tercetus selepas serangan Israel ke atas kemudahan diplomatik Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lepas yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh pegawai Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) termasuk dua jeneral utama.

Iran mendakwa Israel bertanggungjawab di atas serangan maut itu dan sebagai tindak balas Iran melancarkan serangan misil dan dron ke atas Israel pada Sabtu malam.

Pihak berkuasa Israel mendakwa serangan itu berjaya ditangkis. Satu pangkalan udara Israel mengalami kerosakan kecil akibat serangan itu.

Seperti diminta Israel, Majlis Keselamatan PBB mengadakan satu mesyuarat tergempar pada Ahad.

Dalam suratnya kepada Presiden Majlis Keselamatan PBB, Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan menggesa PBB mengutuk Iran dan mengisytiharkan IRGC sebagai sebuah organisasi pengganas.

Ini adalah walaupun pada enam bulan lepas, Israel dengan tegas mengutuk PBB dan tidak mengendahkan resolusi PBB yang menggesa supaya menghentikan segala serangannya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here