KOTA KINABALU, 16 April – Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut (KRCP) boleh berperanan penting dalam melindungi kepelbagaian biodiversiti hutan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata KRCP membuktikan bagaimana sektor awam dan swasta boleh bekerjasama secara berkesan dan telus, melalui penglibatan dan pemerkasaan masyarakat setempat sejak dari awal.

Oleh itu, beliau menggesa lebih banyak perkongsian antara sektor awam dan swasta untuk melindungi hutan biodiversiti negeri ini.

“Saya mahu kita membina pencapaian KRCP untuk melindungi sebanyak mungkin hutan kita, dan memimpin dunia dalam usaha pemuliharaan berimpak tinggi dan kukuh dari segi saintifik,” katanya dalam satu kenyataan selepas pertemuan dengan rakan kongsi KRCP di sini hari ini .

KRCP ialah perkongsian awam-swasta antara Jabatan Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah dan Permain Malaysia, anak syarikat Permain Global.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Permain Malaysia Ivy Wong Abdullah, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ketua Konservator Perhutanan Sabah Datuk Frederick Kugan.

Semasa taklimat itu, Pengerusi Permain Global Stephen Ramsey menekankan bahawa KRCP, telah mengesahkan Laporan Pemantauan pertamanya pada bulan lepas yang menunjukkan pematuhan dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam kemajuan Iklim, Komuniti dan Biodiversiti.

Pencapaian ini membolehkan inisiatif pemuliharaan, yang bertujuan untuk melindungi dan memulihkan 83,381 hektar hutan hujan tropika di daerah Tongod dan Kinabatangan, untuk menjana tranche pertama Unit Karbon Disahkan (VCU), katanya.

Permain Global telah menyediakan pelaburan untuk projek itu dan dengan melibatkan pihak berkuasa negeri, serta rakan kongsi saintifik dan komuniti seperti Perkongsian Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP) dan organisasi tertumpu komuniti PACOS Trust.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here