ISKANDAR PUTERI, 16 April – Kerajaan Johor berhasrat untuk membangunkan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan di bandar raya itu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata cadangan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail untuk dibawa ke kerajaan Persekutuan bagi diperhalusi.

“Di peringkat negeri kita sudah dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor untuk kita laksanakan ART bertingkat sebagai persediaan berdepan peningkatan jumlah pengembara ke Singapura selepas Sistem Transit Rapid (RTS) siap.

“Selain itu, Johor Bahru juga memerlukan pelbagai pilihan pengangkutan awam untuk membolehkan pergerakan keluar masuk orang ramai ke bandar raya ini lancar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama di Malaysia di sini hari ini. 

Turut hadir Pengasas yang juga Pengerusi Kumpulan Syarikat Handal Indah Lim Han Weng.

Onn Hafiz berkata kerajaan Johor komited melakukan transformasi pengangkutan dengan memperbanyakkan penggunaan kenderaan elektrik termasuk perkhidmatan awam.

“Menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), kita sedang melaksanakan inisiatif untuk memperkenalkan bas elektrik. Itu memang antara agenda kita dalam memelihara alam sekitar untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata Handal Indah yang merupakan syarikat penyedia perkhidmatan bas, telah melabur RM80 juta bagi membeli 60 unit bas elektrik dan membangunkan infrastruktur pengecasan sendiri sebagai komitmen ke arah kelestarian alam.

Pada majlis itu, syarikat berkenaan turut menerima anugerah Malaysia Book of Records sebagai penyedia perkhidmatan bas elektrik rentas sempadan pertama di Malaysia.

Perkhidmatan bas yang dilancarkan itu melibatkan tiga laluan termasuk Larkin Sentral, Johor Bahru-Jurong East, Singapura dan Larkin Sentral, Johor Bahru-Boon Lay, Singapura. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here