PARIT BUNTAR, 16 April – Kementerian Kewangan telah mendaftarkan cadangan pembinaan sebuah jajaran lebuh raya baharu, yang akan menghubungkan antara Tanjung Malim ke Lumut, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu perlu, susulan projek Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim akan mula beroperasi, bagi memudahkan perkhidmatan logistik dieksport melalui Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

“Sekiranya produk yang dihasilkan di LuMIC dihantar ke Pelabuhan Klang (Selangor), sesak…sebab itu kita mahu memperkasakan Pelabuhan Lumut itu nanti.

“Kita mahu projek lebuh raya ini dapat dibina dalam tempoh yang sama dengan pembangunan AHTV, agar sebaik sahaja kilang-kilang itu beroperasi, produk yang dihasilkan dapat dihantar terus melalui lebuh raya baharu itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt (MW) dan Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 penduduk setinggan di rizab Sungai Kerian di sini hari ini.

Saarani berkata pendaftaran cadangan projek lebuh raya berkenaan daripada Kementerian Kewangan, merupakan susulan daripada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perak baru-baru ini.

“Kita ada senaraikan 10 perkara kepada Perdana Menteri mengenai permohonan pelaksanaan projek di negeri ini untuk dipertimbangkan di peringkat Persekutuan.

“Kita difahamkan Kementerian Kewangan telah mendaftarkan cadangan projek lebuh raya itu sebagai projek keutamaan dan Unit Perancang Ekonomi akan mengkaji dari segi pelaksanaannya,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai loji janakuasa tenaga solar, Saarani berkata ladang solar yang menelan kos projek RM250 juta berkapasiti 50MW, mampu menjana tenaga hijau untuk 25,000 isi rumah setahun sekali gus mampu mengurangkan 100,000 tan pelepasan karbon dioksida, serta menjimatkan penggunaan elektrik setiap tahun.

Beliau berkata pembinaan ladang solar itu selaras dengan Agenda Teknologi Hijau (Solar dan Hidro) dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030.

“Ia merupakan langkah awal menjadikan Daerah Kerian sebagai hab pembangunan teknologi tinggi dan hijau sebagaimana rancangan kerajaan dalam membangunkan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di daerah ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here