CHANTHABURI — Cuaca panas ekstrim yang melanda Asia Tenggara kini menjejaskan peladang Raja Buah disini.

Gelombang haba yang melanda Asia Tenggara telah menyebabkan hasil buah yang lebih kecil dan kos meningkat, menjadi punca peladang dan penjual semakin panik apabila pemanasan global merosakkan industri.

“Tahun ini adalah krisis,” kata petani durian Busaba Nakpipat kepada AFP.

Lelaki berusia 54 tahun yang terkesan akibat cuaca itu mengambil alih ladang ibu bapanya di timur wilayah Chanthaburi, kawasan durian di Thailand sejak tiga dekad lalu.

“Jika cuaca panas terus meningkat pada masa hadapan, ia akan berakhir. Petani tidak akan dapat mengeluarkan durian lagi,” katanya.

Musim durian biasanya bermula Mac hingga Jun, tetapi suhu tinggi di wilayahnya sekitar 40 darjah Celsius selama beberapa minggu dan cuaca kemarau telah memendekkan tempoh penuaian.

Busaba berkata cuaca panas menyebabkan durian, yang dinilai mengikut berat dan saiz, masak lebih cepat dan tidak membesar sepenuhnya. 

“Kualiti durian tidak memenuhi standard,” katanya.

Tambah Busaba, bukan sahaja dia mendapat pulangan kecil untuk tanaman itu, kos operasi Busaba juga telah meningkat.

Sejak Mac kemarau telah mengeringkan air telaga, jadi untuk memastikan pokok durian berharganya hidup, Busaba terpaksa membawa masuk beribu-ribu liter air dengan trak.

“Kami perlu membayar 10 lori untuk 120,000 liter air untuk sekali menyiram seluruh 1.6 hektar ladang kami,” katanya yang mengulangi proses itu setiap hari, dengan kos beribu-ribu dolar.

“Kami telah berdoa untuk hujan. Tetapi tidak ada hujan,” katanya.

Eksport durian Thailand bernilai berbillion dollar dan adalah produk pertanian ketiga paling berharga kerajaan selepas eksport beras dan getah.

Namun, di pasar durian berhampiran, kebimbangan semakin memuncak dalam kalangan pemilik gerai, kebanyakan mereka perniagaan keluarga turun temurun.

Siriwan Roopkaew, yang menjaga gerai ibunya, berkata kekurangan air telah menjejaskan saiz buah, tetapi buat masa ini harga kekal tinggi berikutan permintaan dari China.

Kira-kira 95 peratus daripada eksport durian Thailand adalah ke China, yang menghantar hampir AS$4.6 bilion (RM21.8billion) pada 2023, menurut data daripada kementerian perdagangan Beijing.

Pada Mei, media kerajaan China melaporkan peningkatan hampir 50 peratus dalam durian yang diimport dari Vietnam, memetik haba dan kemarau di Thailand.

“Cuaca panas bermakna durian akan berkurangan. Tahun ini pun, durian berkurangan,” kata Siriwan, 26.

“Biasanya, gerai saya akan penuh dengan durian sekarang,” katanya. 

Walaupun petani bimbang mengenai air, katanya, penjual seperti keluarganya lebih mengambil berat mengenai ekonomi yang berlaku.

“Kurang durian bermakna pendapatan kami kurang, jadi sukar bagi kami untuk teruskan sara hidup sepanjang tahun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here