BEIJING, 25 Jan  — China pada 2020 menerima jumlah pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di dunia mengatasi Amerika Syarikat (AS) buat julung kali.

Dalam Laporan Pemantau Trend Pelaburan Global oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) pada Ahad, kemasukan FDI di China menunjukkan trend peningkatan meskipun keadaan ekonomi dunia suram akibat pandemik COVID-19.

Ketika mengulas perkara itu, ketua Jabatan Pelaburan dan Perusahaan UNCTAD, Zhan Xiaoning berkata China berjaya mengatasi impak penularan wabak dan turut merekodkan kenaikan mampan FDI sepanjang tahun lepas.

“Berdasarkan anggaran UNCTAD, jumlah penggunaan sebenar modal asing di China mencecah USD163 bilion (RM659.58 bilion) tahun lepas, meningkat kira-kira empat peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika diwawancara wartawan Kumpulan Media China (CMG) secara maya.

Menurut Zhan, tatkala COVID-19 masih berleluasa di dunia, ekonomi China berkemampuan pulih lebih pantas, sehingga menjadi destinasi pelaburan pelabur global.

“Ketika wabak, syarikat-syarikat multinasional telah mengekalkan dan memperluas pelaburan mereka di China susulan kebergantungan tinggi terhadap rantai bekalan dan perindustrian ditawarkan China.

“Tambahan pula, sesetengah sektor di negara ini yang makin terbuka juga merangsang pertumbuhan pelaburan asing,” ujar beliau.

Zhan berkata langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk melicinkan aktiviti pelaburan banyak membantu memantapkan pelaburan asing.

Sementara itu, laporan tersebut merekodkan penurunan FDI global hingga ke paras USD859 bilion (RM3.48 trilion) bagi 2020, menyaksikan penyusutan sebanyak 42 peratus berbanding USD1.5 trilion (RM60.7 trilion) yang dicatatkan pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here