IPOH, 21 Mei — Polis akan menambah bilangan sekatan jalan raya (SJR) di empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 4 Jun di Perak, bagi memastikan tiada pergerakan bebas keluar masuk orang ramai di kawasan berkenaan tanpa kebenaran.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pergerakan hanya dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikeluarkan semalam, dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada orang ramai yang mengingkarinya.

Beliau berkata polis juga akan melaksanakan Ops Payung di kawasan-kawasan strategik yang menjadi tumpuan ramai di kawasan itu, dan pihaknya menasihati masyarakat supaya sentiasa bersabar serta memberi kerjasama penuh kepada semua agensi yang terlibat sepanjang tempoh berkenaan.

“Selain itu kita juga akan menambah bilangan pasukan pemantau pematuhan SOP, dan seluruh elemen rondaan akan dilakukan secara berterusan terutamanya selepas pukul 10 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya penugasan polis juga akan dibantu oleh pelbagai agensi termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

Empat mukim yang terlibat PKPD di Perak ialah Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here