KUALA LUMPUR, 8 Sept — Penduduk Lembah Klang yang sudah melengkapkan vaksinasi COVID-19 boleh merentas sempadan daerah bermula Jumaat ini berikutan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa Dua PPN termasuk kebenaran merentas daerah kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin.

“Selain itu, pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin pula dibenarkan untuk merentas negeri, manakala ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ismail Sabri berkata ‘dine-in’ di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin turut dibenarkan selain aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri sama yang melibatkan penginapan di hotel dan inap desa bagi individu yang juga telah lengkap dua dos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here