KUALA LUMPUR, 27 Sept — Meningkatkan daya saing industri pengangkutan dan logistik serta tadbir urus adalah antara fokus Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi melonjakkan produktiviti, menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab pengangkutan dan logistik di rantau Asia Tenggara menjelang 2025, dengan beberapa inisiatif akan diperkenal bagi meningkatkan daya saing sektor terbabit.

Dokumen itu menyatakan inisiatif berkenaan meliputi usaha meningkatkan kecekapan dan memanfaatkan pendigitalan dalam perkhidmatan pengangkutan serta logistik, pada masa sama menyumbang kepada penambahbaikan proses pengendalian kargo, peningkatan jumlah kargo dan pengukuhan perdagangan.

Dua strategi bakal dilaksana bagi tujuan itu iaitu meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memanfaatkan pendigitalan dalam perkhidmatan dengan langkah akan diambil antaranya menambah baik kapasiti infrastruktur dan perkhidmatan pelabuhan serta melaksana penyenggaraan pencegahan.

“Inisiatif untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan dan logistik akan ditumpukan kepada menambah baik infrastruktur dan kapasiti perkhidmatan pelabuhan serta mempertingkat ketersambungan batuan akhir,” menurut dokumen itu.

Menurut dokumen itu, usaha untuk menggalakkan pergerakan barangan pelbagai mod, menaik taraf sistem penerbangan dan melaksana penyenggaraan pencegahan bagi jalan raya serta jambatan akan turut diberi tumpuan.

Selain itu, ketersambungan logistik antara rel, laut dan udara akan ditambah baik untuk memastikan kedudukan Malaysia sebagai hab kargo berdaya maju dengan industri logistik digalakkan mengguna pakai kaedah pergerakan kargo pelbagai mod untuk menambah baik keupayaan perkhidmatan logistik serta mengurangkan kos pengedaran kargo.

Sementara itu, platform gerbang tunggal transaksi Ubiquitous Customs (uCustoms) akan diguna sepenuhnya untuk memudahkan urusan perniagaan dengan menyediakan sistem berasaskan web serta penyelesaian dari awal ke akhir secara elektronik.

Pangkalan data berpusat untuk sektor pengangkutan dan logistik juga akan dibangunkan mengandungi peta berlapis yang komprehensif serta statistik berkaitan jalan raya, rel, penerbangan dan perkhidmatan maritim, selain mengandungi maklumat dalam melaksanakan agenda hijau sektor pengangkutan.

Menurut dokumen itu, beberapa strategi akan dilaksana dalam memperkukuh rangka kerja institusi dan kawal selia, termasuk menambah baik tadbir urus dan menggalakkan inisiatif hijau.

Di samping itu, kebolehcapaian kepada pengangkutan awam secara menyeluruh juga akan ditambah baik dengan menyatupadukan pelbagai mod pengangkutan dan menggalakkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang akan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan rakyat.

Menurut dokumen itu, kecekapan dan ketersambungan sistem pengangkutan awam akan ditambah baik bagi mendorong penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan pertama perjalanan.

Selain itu bagi mengurangkan masa menunggu dan tempoh perjalanan, kekerapan bas perantara akan ditingkatkan dan laluannya akan dijajarkan semula.

“Perkhidmatan e-panggilan pula akan diintegrasikan dengan MRT dan perkhidmatan lain. Ini dijangka dapat meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam,” menurut dokumen itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here