BEIJING, 30 Sept — Menteri Luar Wang Yi berharap China dan Malaysia dapat mengekalkan pertukaran bertaraf tinggi dan mengoptimumkan peranan mekanisme baharu jawatankuasa kerjasama selain memperkukuh pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Beliau berkata kedua-dua negara juga diharap dapat memperkukuh dan memperhebat “dua taman di dua negara” serta mempergiat kerjasama dalam bidang baharu.

“Kedua-dua negara adalah jiran baik serta mempunyai hubungan akrab, dan China juga merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk 12 tahun berturut-turut, selain pelabur terbesar bagi sektor perkilangan Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

“Ia sekali gus menonjolkan keadaan ekonomi yang saling melengkapi dan potensi kerjasama antara satu sama lain,” kata Wang Yi semasa mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menerusi panggilan telefon pada Rabu.

Menyentuh mengenai wabak COVID-19, Wang berkata China akan terus menyokong usaha Malaysia membendung wabak itu dan mendorong kerjasama vaksin.

“China bersedia untuk bersama Malaysia meningkatkan perpaduan dalam perjuangan melawan wabak, di samping menentang amalan menuding jari terhadap negara lain dan mempolitikkan usaha merungkai asal usul wabak,” katanya.

Mengenai Inisiatif Pembangunan Global yang dikemukakan Presiden Xi Jinping dalam sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Wang berharap Malaysia terlibat secara aktif dalam inisiatif itu selain mendorong pembangunan global lebih kukuh, hijau dan sihat, sekali gus mempercepat pencapaian matlamat Agenda Pembangunan Mampan PBB 2030.

Sementara itu, rakan sejawatannya Saifuddin merakamkan ucapan tahniah sempena sambutan ulang tahun ke-72 Republik Rakyat China dan menyatakan penghargaannya terhadap peranan China dalam menyatupadukan  dunia membendung wabak dan mewujudkan pembangunan bersama.

“Malaysia menghargai bekalan vaksin dan kerjasama penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran vaksin, selain turut menantikan kerjasama dalam perubatan tradisional,” katanya.

Saifuddin berkata Malaysia tidak berganjak daripada usaha memperluas hubungan dengan China, dan berharap mencari potensi kerjasama dalam BRI.

Kedua-dua pihak turut sepakat untuk mendorong perkongsian kerjasama strategik China-ASEAN ke tahap baharu dengan mengambil momentum ulang tahun terjalinnya hubungan dialog.

Dalam perbualan telefon itu, kedua-dua menteri luar turut membincangkan isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama termasuk kawalan senjata nuklear dan isu Afghanistan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here