BINTULU, 22 Mac — Sarawak akan melaksanakan pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Bintulu dalam masa lima tahun ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Laluan berkenaan adalah untuk menghubungkan Bandar Bintulu dengan Tanjung Kidurong yang bakal membangun sebagai hab pengeluaran produk petrokimia dan hab perubatan. 

“Dengan pembinaan laluan ART ini nanti Bintulu akan menjadi tempat kedua selepas Kuching untuk mempunyai sistem pengangkutan awam ini,” katanya semasa Majlis Apresiasi Lembaga Kemajuan Bintulu di sini malam ini.

Menurut beliau, pembinaan itu akan dapat menampung permintaan perkhidmatan terbabit selari dengan pembangunan industri di Tanjung Kidurong yang akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada 15,000 orang dalam tempoh empat tahun lagi.

Abang Johari memberitahu di tapak loji metanol yang dikendalikan oleh Sarawak Petchem Sdn Bhd, telah dijalankan fasa awal hab perubatan oleh sebuah syarikat dari Amerika Syarikat dengan nilai pelaburan sebanyak RM200 juta. 

Akan menyusul katanya ialah fasa kedua dengan nilai pelaburan sebanyak RM800 juta oleh syarikat tersebut.

“Ini adalah petanda pihak swasta mempunyai keyakinan kepada dasar ekonomi yang dibawa oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Sarawak.

“Dasar ekonomi ini akan jadi pemangkin kepada pembangunan pasca pandemik sehingga 2030 dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar yang berkisar antara enam hingga lapan peratus,” kata beliau.

Loji metanol yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Sarawak itu kelak akan menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen yang pertama di Malaysia.

Sebanyak 10,000 tan hidrogen akan dapat dihasilkan di pusat itu nanti yang akan dibeli oleh syarikat Samsung dari Korea Selatan dan Sumitomo dari Jepun. 

Selain menjadi pengangkutan kepada pekerja-pekerja industri, Abang Johari berkata ART kelak dapat digunakan oleh pelancong-pelancong asing yang mahu berkunjung ke Taman Negara Similajau, di sini.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan Bintulu yang merupakan perkampungan nelayan yang diduduki 5,000 orang suatu masa dahulu kepada sebuah kawasan perindustrian dengan jumlah penduduk seramai lebih kurang 230,000 pada masa ini adalah hasil pelan pembangunan yang dibawa oleh Lembaga Kemajuan Bintulu sejak ia ditubuhkan 44 tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here