KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Tekanan terhadap sektor korporat untuk mematuhi kemampanan berikutan perubahan iklim kini menjadi suatu yang arus perdana dan prestasi perbadanan tidak lagi berasaskan kepada kedudukan kewangannya semata-mata, kata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata “beroperasi seperti biasa” bukan lagi pilihan berdaya maju dan perbincangan berkaitan kemampanan ketika ini perlu memasukkan langkah-langkah seperti perubahan minda untuk bertindak secara efektif terhadap perubahan iklim dan operasi tanpa karbon.

“Di Petronas, kami menyedari bahawa tidak ada satu laluan untuk mencapai sifar bersih melainkan gabungan pendekatan evolusi dan penambahbaikan berterusan yang dipacu oleh inovasi dan teknologi,” katanya dalam ucapan beliau pada webinar ‘Beyond Green and Climate: Achieving the Global Sustainability Transition’ anjuran Institute of Chartered Accountants in England and Wales, hari ini

Tengku Muhammed Taufik berkata Petronas sedang melaksanakan langkah daripada hanya menjadi pemain komoditi kepada penyedia penyelesaian yang mengutamakan pelanggan apabila ia mengumumkan entiti bebas terdiri daripada penawaran tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau serta pembentukan pengurusan karbon berpusat untuk melengkapkan operasi tradisi Petronas. 

“Kami berdepan tugas untuk mengimbangi sebarang pertimbangan sambil memastikan bekalan tenaga yang bukan sahaja mampu milik tetapi juga terjamin. 

“Tetapi untuk merangkumi keseluruhan penyediaan tenaga dan penyelesaian, kami mesti memastikan apa yang kami sediakan kepada dunia adalah mampan,” katanya

Tengku Muhammed Taufik juga berkata, syarikat minyak nasional itu berhasrat untuk menjadi  “superstore” dengan menawarkan jenis tenaga yang sesuai secara mampan kepada keseluruhan spektrum negara pengguna. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here