KOTA BHARU, 28 Feb – Sebanyak 60 kes jenayah kekerasan direkodkan polis Kelantan pada 1 Jan hingga 27 Feb tahun ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata pihaknya akan terus meningkatkan penguatkuasaan walaupun terdapat penurunan 1.6 peratus iaitu 61 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Polis Kelantan tidak akan sesekali berkompromi dalam kes jenayah kekerasan meskipun pihak yang terlibat adalah antara keluarga atau rakan-rakan.

“Walaupun kes yang berlaku hanyalah berpunca daripada salah faham namun sikap ‘gedebe’ (samseng) masih wujud dalam kalangan penduduk di negeri ini sehingga berlakunya pergaduhan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata kebanyakan kes jenayah kekerasan yang berlaku melibatkan golongan lelaki berusia 20 hingga 30 tahun berpunca akibat hutang atau teman wanita.

“Apabila kes-kes ini disiasat di bawah Seksyen 323, 324, 325 dan 326 Kanun Keseksaan, kita akan segera mengambil tindakan dengan menahan suspek yang terlibat,” katanya.

Indeks jenayah keseluruhan di Kelantan sejak Jan hingga 27 Feb tahun ini merekodkan 350 kes dengan penurunan 0.3 peratus berbanding 351 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here