GEORGE TOWN, 8 Mac – Pulau Pinang telah melantik Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Lee Khai Loon, Fadhlina Sidek dan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai ‘ADUN Angkat’ susulan pengosongan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh dan Teluk Bahang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata empat ‘ADUN Angkat’ itu dilantik berdasarkan kawasan paling hampir dengan kawasan berkenaan dalam usaha untuk menguruskan masalah yang dihadapi pengundi di kawasan DUN itu.

“Sebenarnya apabila empat ADUN (Bersatu) itu keluar Pakatan Harapan (PH) pada 2020, kami telah lantik yang baharu. Cuma setiap tahun kami kemas kini untuk mengambil perubahan itu sebagai pengiktirafan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar Chowrasta sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini.

Chow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata tindakan melantik ‘ADUN Angkat’ yang terdiri daripada beberapa ADUN menguruskan kawasan itu bagi membolehkan rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan tidak merasa terpinggir selain dilindungi oleh kerajaan negeri dengan peruntukan sama di kawasan masing-masing.

Beliau berkata Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merupakan wakil rakyat Pinang Tunggal akan menjaga DUN Bertam, Lee yang merupakan ADUN Machang Bubok akan menjaga Sebarang Jaya, Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau akan menguruskan Teluk Bahang manakala Menteri Pendidikan Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal diberi tugas menjaga Sungai Acheh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here