ALOR SETAR, 29 April – Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI yang diadakan di Hotel Raia, di sini hari ini berjaya mencapai sasaran lebih 25,000 pengunjung, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata hidangan makanan di 60 gerai yang disediakan juga hampir habis walaupun majlis belum berakhir lagi.

“Saya sempat buat tiga pusingan untuk melihat sendiri majlis, saya yakin sasaran 25,000 kehadiran pengunjung berjaya dicapai dalam tempoh empat jam dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir hari ini.

“Majlis rumah terbuka di Kedah ini merupakan program utama Perdana Menteri walaupun ia akan diadakan di lima lagi negeri yang lain dan ingin saya nyatakan bahawa tidak berlaku pembaziran kerana semua makanan seperti mi goreng, sate dan lemang habis,” katanya.

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Sementara itu Saifuddin berkata kehadiran Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengiringi keberangkatan Sultan Sallehuddin turut dapat menguatkan semangat ukhwah dan muhibah walaupun berlainan fahaman politik.

“Ini menunjukkan kematangan orang politik untuk mengenepikan sebarang sentimen dan perbedaan dari segi politik.. pemimpin-pemimpin politik yang berbeda haluan ini boleh berada di platform yang sama seumpama merayakan Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu Saifuddin Nasution berkata jumlah peruntukan untuk Kedah yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan bahawa kerajaan Pusat tidak memandang sepi terhadap kerajaan negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

“Kerajaan Persekutuan telah umum, peruntukan dalam projek baharu atau projek yang bersambung (untuk Kedah), nilainya adalah berjumlah RM1.6 bilion.. ini bukan projek dalam perancangan tetapi ini adalah bajet yang telah diluluskan meliputi 442 projek Persekutuan di negeri (ini).

“Ia terdiri daripada 136 projek baharu manakala 306 adalah projek sambungan.. jadi sekali lagi Perdana Menteri betul-betul menterjemahkan prinsip ini kepada masyarakat dan ia tidak langsung membedakan negeri yang tidak diterajui Kerajaan Perpaduan, tetap menerima peruntukan yang besar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here