KOTA KINABALU, 29 Julai — Warga Sabah yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini dinasihati supaya membuat pilihan terbaik bagi mengekalkan dinamik politik negara untuk masa depan yang baik.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan yang menyokong penuh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan pimpinan semasa merupakan platform terbaik bagi sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia untuk bergerak maju ke hadapan.

Beliau turut menggesa setiap pengundi untuk menolak parti-parti politik yang menggunakan fitnah perkauman dan ketaksuban agama sebagai bahan kempen mereka yang akan memudaratkan negara majmuk seperti Malaysia dan tidak akan menjamin masa depannya.

“Kestabilan, yang merupakan salah satu faktor penting untuk sebuah negara maju, hanya boleh dicapai apabila seluruh rakyat bersatu dan tidak dipengaruhi dengan sikap perkauman dan ketaksuban,” menurut kenyataan itu.

Hajiji berkata Sabah dan rakyatnya menjadi contoh perpaduan yang baik dalam kepelbagaian dan perpaduan, kerana walaupun terdapat perbezaan bangsa dan agama, mereka telah wujud bersama dalam harmoni sejak sekian lama tanpa mengira ideologi politik, dan ia juga merupakan sesuatu yang dipupuk oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat kebangsaan.

Terdahulu pagi ini Hajiji bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengiringi Anwar di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu in Gombak, Selangor.

Kedua-dua pemimpin dari Sabah dan Sarawak itu membuat penampilan sulung bersama dengan pemimpin persekutuan dalam menunjukkan sokongan padu kepada calon daripada parti kerajaan yang akan bertanding dalam PRN ini.

PRN yang melibatkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) akan diadakan pada 12 Ogos bersekali dengan PRK Parlimen Kuala Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here