PUTRAJAYA, 3 Okt – Kerajaan sedang meneliti potensi untuk membangunkan industri pertengahan dan hiliran bagi industri mineral negara, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata langkah berkenaan dilaksanakan bagi memastikan potensi ekonomi industri berkenaan dapat direalisasikan sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada pengeksportan mineral mentah.

“Pelaburan berkualiti komitmen daripada kerajaan-kerajaan negeri akan dapat memastikan industri yang diwujudkan memberi impak positif kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini bersempena mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) pertama yang diadakan semalam.

Antara yang menghadiri JKPPIM ialah menteri-menteri besar dan exco-exco yang bertanggungjawab terhadap pengurusan mineral serta pakar dalam bidang perlombongan, pemuliharaan alam sekitar dan pembuatan.

Nik Nazmi berkata JKPPIM merupakan forum bagi melihat dan memperincikan isu industri mineral negara serta membantu mempercepatkan proses pembuatan keputusan berkaitan industri mineral di samping menggalakkan kerjasama dan penyelarasan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pengurusan isu-isu mineral.

“Jawatankuasa ini juga akan melihat keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral contohnya untuk pengekstrakan unsur nadir bumi (REE),” katanya.

Mengenai JKPPIM pertama semalam, beliau berkata kertas pertimbangan yang telah dibentangkan ialah Kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) manakala kertas makluman pula ialah Potensi Sumber Mineral Strategik dan Sumbangannya Sebagai Kekayaan Baharu.

Turut dibentangkan Laporan Pengauditan Pelaksanaan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, daerah Hulu Perak, Perak dan perkara utama daripada keputusan mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua pada 8 Mei 2023 dan Majlis Tanah Negara ke-80 pada 12 Sept lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan maksimum buat negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here