PUTRAJAYA, 16 Okt – Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 Jumaat lepas, merupakan pengiktirafan terhadap khidmat penjawat awam sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) siap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata insentif itu ialah isyarat bahawa kerajaan memberi perhatian serius terhadap kadar upah 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

“Tidak munasabah untuk harapkan prestasi meningkat, produktiviti tinggi, tetapi kadar upah tidak meningkat.

“Kalau kita tengok kajian DOSM (Jabatan Perangkaan), tahap produktiviti ada peningkatan, tetapi kadar upah peningkatannya sederhana. Jadi ia tidak berikan suatu galakan,” katanya pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Oktober di sini hari ini.

Anwar berharap langkah sama turut dilaksanakan oleh majikan sektor swasta dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa.

Berhubung dengan SSPA, Anwar mahu ia disiapkan sebelum pertengahan tahun depan untuk membolehkan hasil kajian sistem itu dikongsikan dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat mengumumkan bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2024 itu turut memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan prasarana asas rakyat walaupun negara berhadapan dengan situasi kekangan kewangan.

“Kalau kita terlalu terikat dengan kekangan kewangan, ini akan sengsarakan rakyat. Bagi saya kalau soal pendidikan, kesihatan rakyat umumnya, itu tidak boleh dikorbankan,” katanya.

Anwar berkata kerajaan sedang meneliti langkah-langkah yang boleh diperbaiki dalam Belanjawan 2024.

“Apa pun ikhtiar manusia, kita lakukan sebaiknya, tetapi apa (sahaja) langkah baharu yang perlu diperbaiki, kita akan perbaiki,” katanya.

Beliau berkata Belanjawan 2024 setebal 114 muka surat itu merupakan hasil kerja berpasukan yang disiapkan bagi merencanakan perancangan belanjawan negara.

“Belanjawan ini namanya (dibentangkan) Menteri Kewangan, tetapi ia kerja pasukan. TPM (Timbalan Perdana Menteri) mengetuai beberapa pasukan jawatankuasa Kabinet. KSN (Ketua Setiausaha Negara) mengepalai jentera perkhidmatan awam, dan semua kementerian serta jabatan diminta memberikan input,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut memuji komitmen penjawat awam di semua kementerian atas kejayaan memastikan semua agenda yang telah direncanakan kerajaan dilaksanakan sebaik mungkin.

Katanya, kejayaan itu adalah berdasarkan komitmen, iltizam, tekad serta keikhlasan dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

“Contoh, siapa sangka lebih 8,600 tandas boleh kita selesaikan dalam masa beberapa bulan. Hal yang tertangguh puluhan tahun boleh diselesaikan dalam masa lima hingga enam bulan,” katanya dan menambah semangat sedemikian mampu mengangkat martabat negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here