PUTRAJAYA, 21 Dis – Proses pendaftaran Identiti Digital Nasional atau MyDigital ID membabitkan 1.6 juta penjawat awam yang sedang giat dilaksanakan ketika ini berjalan dengan baik, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata fokus ketika ini adalah menjayakan pendaftaran untuk kakitangan kerajaan sebelum pendaftaran dibuka kepada umum pada Mac tahun depan.

“Harapan saya, kita akan dapat pertingkatkan pendaftaran bagi sistem MyDigital ID yang merupakan single sign on (SSO) sistem ataupun sistem yang kita cuma buat pendaftaran sekali sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi pendaftaran MyDigital ID warga Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi individu pertama mendaftarkan diri dan memiliki identiti digital.

Pada 21 Nov lepas, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan peruntukan RM80 juta kepada MIMOS Berhad untuk menyegerakan pelaksanaan MyDigital ID dan memperkasakan transformasi digital serta membangunkan inisiatif digital khususnya melibatkan urusan dengan kerajaan.

Fahmi berkata penjawat awam turut memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman tentang MyDigital ID kepada orang ramai selaras usaha pendigitalan perkhidmatan kerajaan ketika ini.

“Saya lihat ada keperluan untuk penjawat awam terlibat dengan giat dalam usaha pendaftaran (MyDigital ID) ini, asasnya (adalah) proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

“Penting kita tunjukkan bahawa sektor awam kerajaan sedia untuk proses pendigitalan serta mengadaptasi guna teknologi baharu supaya kita beri perkhidmatan lebih baik dan mudah kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau telah meminta Jabatan Penerangan (JaPen) membantu MIMOS, agensi pelaksana MyDigital ID untuk membuat sebaran maklumat mengenai kepentingan pendaftaran sistem itu, antaranya dengan mengaktifkan Info on Wheels di peringkat negeri.

Mengenai sesi pendaftaran MyDigital ID warga Kementerian Komunikasi hari ini, beliau berkata lebih 500 warga kementerian itu telah mendaftar MyDigital ID dan penerimaannya amat positif.

“Kita lihat penerimaanya sangat positif dan tidak ada apa-apa kegusaran dalam kalangan staf, mereka telah membuat pendaftaran itu dengat sangat cepat dan pantas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here