KUANTAN, 15 Feb – Masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB) dan Tanaman Semula Komersial (TSK) di seluruh Pahang tidak perlu bimbang kerana ladang getah atau kelapa sawit yang diusahakan mereka tetap beroperasi seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata kerajaan negeri kini sedang melaksanakan beberapa tindakan ke atas tanah terlibat bagi memudahkan proses pembayaran cukai tanah sebagaimana dilakukan terhadap agensi lain.

“Difahamkan ladang yang diusahakan oleh Risda Plantation di bawah TSB dan TSK di Pahang adalah seluas 17.012 hektar dan kami sekarang dalam usaha mencari mekanisme untuk memudahkan pembayaran cukai tanah melibatkan perbincangan serta pengukuran tanah.

“Justeru, para peserta Orang Asli di bawah 184 projek TSB dan TSK tidak perlu risau kerana perusahaan ladang getah dan sawit mereka tetap beroperasi seperti biasa dan tidak timbul isu kami mahu menjual tanah terlibat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syed Ibrahim berkata kerajaan Pahang bahkan sedang berusaha untuk memberikan tanah ladang tersebut kepada peserta terlibat kerana ada sebahagian daripadanya sudah diusahakan lebih 30 tahun.

Katanya, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) juga bertindak mengusahakan ladang peserta dan hasil kemudiannya diberikan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk dibayar kepada mereka dalam bentuk dividen mengikut keluasan ladang masing-masing. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here