KUALA LUMPUR, 18 Mac – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melancarkan inisiatif Geran Padanan Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) bagi menyokong latihan industri berstruktur dan mampan dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat baharu Malaysia.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata LiKES itu merupakan satu inisiatif baharu di bawah Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan jumlah keseluruhan geran padanan RM30 juta disediakan oleh kerajaan, bakal memanfaatkan 30,000 pelatih amali. 

Beliau berkata inisiatif LiKES bakal dibuka kepada majikan bermula hari ini sehingga tahun 2026, dan pihaknya menyasarkan penyertaan 600 syarikat PKS serta syarikat baharu sepanjang lebih dua tahun inisiatif itu dijalankan. 

“Buat kali pertama, kerajaan memperkenalkan geran padanan latihan industri untuk menyokong sektor PKS dan syarikat pemula bagi memastikan lebih ramai majikan mengambil bahagian dalam usaha membina negara secara kolektif untuk memupuk bakat muda negara.

“Kita sedar banyak syarikat mempunyai kekangan untuk membayar elaun dan peluang latihan amali mempunyai taburan tidak seragam, iaitu (syarikat menyediakan latihan industri) lebih tertumpu di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan LiKES hari ini. 

Steven berkata geran padanan LiKES merangkumi tempoh latihan sehingga enam bulan dan dibuka untuk permohonan oleh PKS dan syarikat pemula, selain pemohon berkelayakkan perlu menawarkan penempatan latihan sekurang-kurangnya selama 10 minggu dan menyediakan elaun minimum latihan industri.

“Elaun minimum bagi pelajar Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma dan Diploma Kemahiran Malaysia RM500 sebulan, TalentCorp akan membayar semula kepada majikan RM250 sebulan. 

“Bagi pelajar yang mengikuti Diploma Kemahiran Lanjutan Malaysia, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Sijil Profesional, elaun minimum yang perlu dibayar ialah RM600 sebulan dan TalentCorp akan membayar semula RM300 sebulan,” katanya. 

Sementara itu beliau berkata pihaknya dijangka membentang kerangka Dasar Sumber Manusia Negara yang pertama Mei ini dengan antara komponen yang terkandung membabitkan mengenai latihan industri. 

“Petang ini kita akan mengadakan Townhall Mega bersama dengan penglibatan kira-kira 1,000 orang, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), majikan dan pekerja,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here