KUALA LUMPUR, 27 Mar – Kerajaan komited untuk memastikan pelaksanaan tiga hab Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) selari dengan agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata penyelarasan CCUS yang dikendalikan oleh kementerian tersebut meliputi aspek dasar, perundingan, alam sekitar, kewangan, keselamatan, perdagangan dan penerimaan awam.

Beliau berkata bagi memastikan pihaknya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh NETR menjelang 2030, antara langkah yang diambil termasuklah penganjuran Persidangan CCUS Malaysia 2023 pada November depan untuk mengumpul maklumat daripada pihak berkepentingan tentang mekanisme, kawal selia dan teknologi bersesuaian serta menanda aras CCUS dengan pelbagai negara.

“Selain itu, sesi libat urus juga diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan Sarawak, pemain industri minyak dan gas, serta wakil kementerian, jabatan dan agensi berkaitan bagi mendapatkan input pelaksanaan insentif CCUS dalam negara.

“Pelaksanaan kajian komprehensif juga dilakukan untuk membangunkan satu rangka kawal selia CCUS yang optimum bagi mengawal inisiatif itu di Malaysia secara holistik dan inklusif,” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai langkah kerajaan dalam memastikan industri baharu seperti CCUS dapat dilaksanakan di Malaysia selari dengan agenda NETR dan NIMP 2030.

Hanifah berkata, perbincangan awal dengan negara luar juga diadakan bagi meneroka peluang kerjasama dalam aktiviti berkaitan gerakan rentas sempadan untuk tujuan penyimpanan kekal karbon dioksida.

“Pelaksanaan CCUS juga akan memerlukan pelaburan yang tinggi dari luar negara memandangkan ia menelan kos yang tinggi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohd Hatta mengenai modal yang diperlukan untuk membangunkan tiga hab berkenaan menjelang 2030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here