KUALA LUMPUR, 22 April – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menandatangani surat niat (LoI) dengan Kerajaan Rakyat Perbandaran Hangzhou dengan memfokuskan kepada kerjasama Smartup City Connect.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kerjasama itu merupakan detik bersejarah buat Malaysia dan Republik Rakyat China memandangkan ini adalah kerjasama pertama membabitkan bandar antara kedua-dua negara yang memberi fokus kepada industri pemula (startup).

Beliau berkata berdasarkan perkembangan pesat industri pemula di China, perkongsian pengetahuan dan kepakaran bersama terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi akan memberi nilai tambah yang bakal menguntungkan Malaysia.

“LoI ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua bandar dan akan membantu meningkatkan lagi pelaburan serta memberi peluang yang luas kepada pertukaran teknologi tinggi terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan ekosistem syarikat startup antara Malaysia dan Republik Rakyat China.

“LoI ini juga akan membuka prospek penting bagi usahawan dan pemain teknologi komunikasi di kedua-dua negara untuk terus berinovasi dan memajukan teknologi,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu Zaliha menyaksikan majlis penandatanganan LoI itu antara Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh dan Timbalan Datuk Bandar pertama Hangzhou Chen Jin bersempena Sidang Kemuncak KL20 2024 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini. 

Zaliha berkata LoI itu juga akan memberi tumpuan kepada bidang seperti kerjasama ekonomi dan perdagangan, program bandar pintar, e-dagang, pembangunan ekosistem startup dan rangka kerja pengawalseliaan AI.

Mengulas mengenai Sidang Kemuncak KL20 2024, beliau berkata penganjuran sidang kemuncak itu memberi kelebihan kepada Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur untuk mencapai kemajuan, kemakmuran ibu kota menerusi pembangunan fizikal, sosioekonomi, kawalan perancangan serta perkhidmatan perbandaran secara terancang dan selaras berteraskan tadbir urus yang cemerlang.

Sidang kemuncak dua hari bermula hari ini menghimpunkan syarikat pemula, pelabur dan pemimpin industri untuk memupuk inovasi, kerjasama dan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula di Malaysia, serta melonjakkan Malaysia sebagai kuasa besar dalam industri elektronik dan elektrikal di persada dunia, terutamanya melibatkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan.

Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri program anjuran kerajaan Malaysia dan diterajui oleh Kementerian Ekonomi itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here