PETALING JAYA,23 Nov: Kerajaan Melaka digesa bersikap telus dalam keputusannya untuk menamatkan projek penambakan laut Melaka Gateway bernilai RM43 bilion.

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai dan Yeah Kim Leng berkata, kerajaan negeri mesti mendedahkan sebab-musabab projek berkenaan dibatalkan.

Barjoyai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kerajaan negeri mesti menjelaskan hal-keadaan yang menyebabkannya mengambil langkah drastik untuk mengarah pemaju mengosongkan premis mereka dalam tempoh 14 hari.

Beliau juga mempersoal sekiranya terdapat motif politik atas pembatalan projek berkenaan.

Yeah dari Universiti Sunway berkata, ketelusan amat diperlukan jika berlaku sebarang pelanggaran terma dan syarat supaya situasi menang-menang boleh dicapai oleh kedua-dua pihak.

Beliau berkata pelabur sedia ada dan yang berpotensi kini memantau perkembangan yang berlaku.

“Ia akan menjejaskan Melaka kerana pelabur akan mengambil sikap berhati-hati, melainkan wujudnya ketelusan.”

Perunding perniagaan dan penasihat di Institut Strategik Kingsley Hoo Ke Ping bagaimanapun mempersoalkan daya maju projek Melaka Gateway dan kemampuannya untuk bersaing dengan Singapura.

“Pelabuhan Singapura terbina selama beberapa dekad dan merupakan antara pelabuhan terbesar di dunia. Adakah Melaka Gateway mampu bersaing?”, katanya.

Hoo berkata, projek itu adalah sebahagian projek ‘1 Belt, 1 Road’ China dan ia harus diteliti untuk melihat sama ada ia lestari dalam jangka panjang.

Pada 16 Nov, dilaporkan kerajaan Melaka menamatkan perjanjian penambakan laut untuk membina 3 pulau di bawah projek Melaka Gateway.

Pejabat Ketua Menteri berkata, perjanjian dengan pemaju hartanah KAJ Development Sdn Bhd yang ditandatangani pada Okt 2017, tamat pada 3 Okt.

Bernama melaporkan notis penamatan itu dihantar kepada syarikat berkenaan selepas ia gagal menyudahkan projek tersebut.

Pada 21 Nov, ketua pegawai eksekutif dan pengasas KAJ Development Michelle Ong berkata, mereka diberikan notis penamatan pada 16 Nov “tanpa sebarang alasan”.

Katanya, setakat ini mereka membelanjakan RM700 juta untuk projek itu, selepas menyudahkan 40% kerja-kerja projek, termasuk siasatan tanah.

KAJ Development merupakan pemaju induk projek mega Melaka Gateway dan pemegang konsesi penambakan laut serta pembinaan 3 pulau seluas 246 hektar yang akan merangkumi sebuah pelabuhan laut dalam dan terminal kapal persiaran terbesar dalam Asia.

Pada 2018, projek pembinaan pelabuhan dan terminal kapal persiaran syarikat itu dibatalkan oleh kerajaan persekutuan.

Keputusan itu kemudiannya dibatalkan oleh Kementerian Pengangkutan pada November tahun lalu atas rayuan syarikat berkenaan.

Terminal kapal persiaran itu sepatutnya disiapkan pada September 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here