KANGAR, 23 April — Menyedari potensi industri kreatif mampu digerakkan bagi menjana pendapatan masyarakat, Kementeran Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) telah memperkenalkan program Riuh Keluarga Malaysia sebagai usaha menghidupkan kegiatan industri kreatif yang terdapat di negeri-negeri , kata Menteri Komunikasi dan Multimedia  Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata hasrat K-KOM adalah untuk meningkatkan sumbangan industri kreatif sebagai penyumbang kepada  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Kita harap industri kreatif  akan meningkat daripada empat peratus sebelum ini kepada tahap yang lebih tinggi iaitu kepada tujuh peratus secara berperingkat selepas ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di sini malam ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis.

Annuar berkata fokus program itu bukan kepada industri kreatif bersifat hobi atau separuh masa tetapi yang boleh diterjemahkan kepada program yang menjana pendapatan.

Beliau berkata menurut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) , industri kreatif itu sangat luas ianya termasuk seni lukis, seni visual, seni tari, fesyen dan banyak lagi.

Katanya ianya berpotensi untuk dijadikan sebagai penjana ekonomi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan Program Riuh adalah platform untuk penggiat seni mengkomersialkan aktiviti mereka.

“Ini adalah satu penggalakan supaya ada satu imigrasi daripada seni yang biasa-biasa dijadikan sebagi satu kegiatan ekonomi,” katanya

Beliau berkata pada masa yang sama, pihak kementerian juga menggalakkan syarikat telekomunikasi turut mempromosi tentang ketersambungan dan kualiti bekalan perkhidmatan jalur lebar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here